Wednesday, August 18, 2010

KENANGAN DI BULAN RAMADHAN DI BUMI ASING

Semasa kami bertugas di Namibia pada tahun 1989-90 di bawah panji-panji PBB (UNTAG NAMIBIA), tugas kami yang paling mencabar ialah memusnahkan periok api & UXB (Unexploded Bomb). Saya masih ingat lagi peristiwa ini semasa kami baru menjejakkan kaki di Namibia pada tahun 1989, iaitu dalam bulan Ramadhan. Sebagai anggota Sappers kami sentiasa bersedia walaupun baru sahaja menjejakkan kaki di bumi asing ini. Kami telah diberi taklimat oleh wakil UNTAG mengenai periok api & UXB ini yang telah banyak mengorbankan orang-orang awam terutama kanak-kanak. Jadi kami ditugaskan untuk mencari dan memusnahkan periok api dan UXB ini di kawasan penempatan yang merbahayakan orang awam. Saya mempersiapkan anggota-anggota untuk membuat persiapan dan memberikan taklimat mengenai tugas-tugas bahaya yang bakal kami laksanakan. Sebagai anggota yang terlatih dan terpilih untuk misi ini, anggota-anggota kami tidak mempunyai masalah dan masing-masing bersedia untuk menggalas tugas yang mencabar ini.


Pada hari pertama, kami telah dapat mengesan 20 butir UXB dan periok api manakala pada hari kedua pula sebanyak 30 butir, sehinggalah lebihkurang seminggu kami menjalankan tugas ini tanpa henti walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga. Kami dapat mengesan hampir 200 butir termasuk periok api dan UXB. Alhamdulillah, semua anggota-anggota tidak mengalami sebarang kecederaan semasa melaksanakan tugas ini. Oleh kerana kawasan ini terlalu besar dan anggota-anggota kami terpaksa pula melaksanakan tugas-tugas penyelenggaraan kem, kerana pada masa yang sama Kompeni-Kompeni dari MALBATT mengambil kedudukan di penempatan masing-masing. Jadi banyak yang perlu diperbaiki & diselenggara bagi memberikan keselesaan kepada anggota-anggota MALBATT.


Saya terus memaklumkan kepada Pegawai Memerintah MALBATT untuk memohon bantuan daripada Australian Engineers untuk meneruskan tugasan ini bagi memusnahkan periok api dan UXB di kawasan-kawasan yang masih belum kami musnahkan. Semenjak dari itu anggota-anggota kami dan Australian Engineers saling bekerjasama bagi memusnahkan periok api dan UXB ini. Kawasan-kawasan yang merbahaya terutamanya di sempadan Namibia dan Angola, yang masih saya ingat seperti Ruacana, Opuwo, Oshakati, Ondangwa, Okalongo, Eenhana dan lain-lain lagi yang menjadi sejarah dalam hidup kami. Saya bersyukor dan berbangga kerana dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini disamping menyelamatkan orang-orang awam terutamanya kanak-kanak yang tidak berdosa daripada menjadi mangsa periok api dan UXB ini. Begitulah coretan pengalaman kami dan simbol kemegahan dan keberanian “Anggota-anggota Sappers” di Namibia ini, kami abadikan bersama “BLUE HELMET’ yang kami pamerkan di Muzium Kor Jurutera Diraja, Kem Mahkota, Kluang, Johor.


Coretan pengalaman EX-SAPPERS UNTAG NAMIBIA 1989-1990



Nota : Sekiranya ada Warga Ex-Sappers yang mempunyai kenangan untuk dikongsi bersama sila emailkan kepada : exsappers@gmail.com

2 comments:

  1. Salam semua persara warga RAJD wilayah utara selamat menyambut ramadhan al-mubarak. Saya amat tertarik dengan artikel ini, disini saya ingin tahu siapa penulisnya. Pada hemat saya ianya boleh dijadikan bahan rtifak muzium RAJD terutama di sudut PBB. Untuk makluman muzium RAJD ada mempunyai laman facebook sendiri untuk tujuan memberikan maklumat kepada warga RAJD dan persarnya. Kepada sesiapa yang ingin melayari mestilah mempunyai laman facebook dan boleh menacari laman muzium dengan menaip muzium rajd sahaja tk - kurator muzium RAJD

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Mej Baha, utk maklumat blh hubungi saya di 019-5416107.

    ReplyDelete